715 warga asing hidup daif di rumah kongsi, 309 PATI ditahan

Astro Awani
Jun 20, 2021 05:43 MYT
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. - Astro AWANI
DENGKIL: Tiada sistem saliran yang baik, satu bilik kecil kongsi 4 orang.
Lebih menjengkelkan apabila mereka langsung tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang jangkitan wabak COVID-19.
Itu situasi yang dilihat dalam Op Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia bersama pelbagai agensi penguatkuasa di sebuah tapak rumah kongsi di sini, malam tadi.
Operasi yang bermula kira-kira jam 12 malam tadi berjaya menahan 309 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan kali ini merupakan tangkapan terbesar setakat tahun ini.
"Kita lihat bagaimana daif, sesak dan kotornya tempat kediaman pekerja-pekerja warga asing ini.
"Tiada sistem saliran perparitan, sistem tandas yang teratur dan selain daripada itu terdapat tempat berkumpul untuk mereka makan beramai-ramai.
"SOP menetapkan kumpulan beramai-ramai tidak dibenarkan namun di tempat-tempat kediaman seperti ini mereka bebas tanpa ada sebarang kawalan dan pematuhan kepada SOP," katanya.
Seramai 189 anggota dan pegawai termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Tenaga Kerja Sumber Manusia melakukan saringan ke atas 715 warga asing.
Tangkapan dibuat ke atas 280 lelaki dan 29 wanita terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, India dan Vietnam berusia antara 20 dan 52 tahun.
Antara kesalahan dikesan adalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tiada permit kerja.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya.
Untuk rekod, sebanyak 80 operasi dan tangkapan dilakukan sejak pelaksanaan PKP penuh dari 1 Jun hingga 15 Jun.
Sepanjang tempoh itu, 217 PATI dikesan daripada 2,314 warga asing yang diperiksa.
#warga asing #rumah kongsi #SOP #PKP #COVID-19 #Imigresen #tapak rumah kongsi
;