71 peratus pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM50,000

Ridauddin Daud
Oktober 31, 2020 18:40 MYT
Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, itu bermakna mereka hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: 71 peratus daripada ahli aktif dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.
Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, berdasarkan kajian itu bermakna mereka hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara.
Tambah beliau, melihatkan jumlah tersebut, wang simpanan mereka sebenarnya tidak mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa selepas tidak lagi bekerja.
BACA: KWSP berdepan kekurangan dana besar jika pengeluaran Akaun 1 dibenarkan - Pakar ekonomi
BACA: COVID-19: KWSP sedia bantu pencarum rancang kewangan mereka
“Secara purata dalam Akaun 1, ahli kita mempunyai sebanyak RM47,000 dalam Akaun 1. Kebanyakan daripada ahli yang kurang daripada 30 tahun, ahli yang muda, secara purata mereka mempunyai hanya RM10,000 dalam Akaun 1.
“Itu bukanlah jumlah yang banyak, kalau kita campur dengan Akaun 2, ahli kita mempunyai RM13,000 dalam Akaun 2 dan bagi mereka yang bawah 30 tahun,hanya mempunyai RM4,000 dalam Akaun 2.
“Jadi simpanan mereka tidaklah begitu banyak,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam pada itu, satu lagi statistik membimbangkan ialah hanya satu daripada tiga pencarum mampu mencapai simpanan asas berjumlah RM240,000 ketika bersara.
“Daripada itu, selepas mereka bersara dan mengeluarkan duit daripada KWSP, satu daripada dua ahli KWSP akan menghauskan simpanan mereka dalam masa lima tahun.
“Di Malaysia, sebagai anggaran, jangka hayat kita 75 tahun. Jadi kalau kita keluarkan duit pada 55 tahun, dan hauskan duit sebelum mereka sampai umur 60 tahun, jadi mereka mempunyai, sebagai anggaran, 15 tahun lagi untuk jangka umur mereka untuk tempuhi,” ujarnya.
Isnin lalu, Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan mempertimbangkan lagi cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata kerajaan boleh membenarkan pengeluaran duit dengan mengehadkan secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun tersebut.
Begitupun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menegaskan Akaun 1 KWSP adalah untuk simpanan masa depan.
Menurutnya, sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 buat masa ini, ia akan memberi masalah lebih besar kepada pencarum pada masa akan datang.
#KWSP #EPF #akaun 1 #akaun 2 #pengeluaran #keluar duit #Najib Razak #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #ekonomi #kerajaan #COVID-19 #Astro Awani #menteri #Astro #simpanan #hari tua
;