709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd terima pampasan RM8.6 juta - PM

Astro Awani
April 24, 2022 14:34 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) menyampaikan pampasan gaji bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman hari ini. - Foto BERNAMA
CHUKAI: Seramai 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd menerima pampasan selepas perkhidmatan mereka ditamatkan pada November 2014.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua mereka akan menerima pampasan antara RM3,000 hingga RM21,000 seorang.
Katanya pampasan berkenaan membabitkan jumlah keseluruhan RM8.645 juta.
“Hari ini kesemua 709 bekas pekerja Perwaja Steel akan mendapat pampasan setelah ditamatkan perkhidmatan pada November 2014.
“Setelah tujuh tahun pekerja menuntut hak mereka, kes dibicarakan di mahkamah akhirnya diselesaikan dengan pemberian pampasan secara keseluruhan sebanyak RM8.645 juta hari ini.
“Bekas pekerja akan menerima cek yang boleh terus digunakan yang jumlahnya antara RM3,000 hingga RM21,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian pampasan bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di sini pada Ahad.
Ismail Sabri percaya pampasan berkenaan merupakan hadiah untuk menyambut perayaan Aidilfitri pada 3 Mei ini.
Untuk rekod, Perwaja yang ditubuhkan di bawah Dasar Perindustrian Berat Negara pada 1982 beberapa kali bertukar pemilikan dengan dilanda pelbagai masalah termasuk masalah kewangan sehingga operasinya terpaksa ditutup pada November 2014.
#perwaja steel sdn bhd #pampasan #ismail sabri yaakob #Kemaman #Perdana Menteri #diberhentikan kerja
;