70 rumah di dua kampung musnah dalam kebakaran

Petrus Bernard
Ogos 27, 2019 09:05 MYT
Sebanyak 70 rumah separuh kekal dan kekal musnah dalam satu kebakaran di dua kampung pada Isnin malam hingga awal pagi tadi. -Astro AWANI
Sebanyak 70 rumah separuh kekal dan kekal musnah dalam satu kebakaran di dua kampung pada Isnin malam hingga awal pagi tadi.
Kebakaran yang bermula dari Perkampungan Otentik, Jalan Tanjung Batu Laut Tawau itu terus merebak ke seberang sungai sehingga turut memusnahkan sebahagian rumah di Kampung Tanjung Batu Darat Tawau.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Tawau, Sharudy Delamin berkata sebaik menerima panggilan pada jam 7.54 malam, pihaknya terus bergegas ke lokasi dengan kekuatan satu pegawai, 46 anggota bersama tiga jentera dan empat buah kenderaan bomba.
Keadaan angin yang kuat selain kedudukan rumah yang terlalu rapat menyukarkan operasi pemadaman.
Bomba terpaksa menggunakan pelbagai kaedah termasuk menggunakan pam angkut untuk mendapatkan air dari tempat terbuka.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.48 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.58 pagi tadi.
Operasi turut dibantu agensi lain antaranya Jabatan Air, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam, dan pasukan Rela.
Punca kebakaran, jumlah penduduk terlibat dan jumlah kerugian setakat ini masih dalam siasatan pihak bomba.
#70 rumah terbakar #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kampung Tanjung Batu Darat #kebakaran dua kampung #operasi pemadaman #Sharudy Delamin
;