70 peratus peserta Yayasan NAAM berjaya ubah ekonomi keluarga - Saravanan

Bernama
Jun 3, 2017 17:46 MYT
SARAVANAN: Pendidikan dan latihan kemahiran adalah instrumen penting serta diyakini berkesan boleh mempercepatkan masyarakat India meningkatkan pendapatan serta taraf hidup.
Lebih 70 peratus daripada 1,000 wanita India di negara ini yang menerima latihan kemahiran menerusi Yayasan Gerakan Afirmatif Baharu (NAAM) tahun lepas berjaya meningkatkan ekonomi keluarga mereka.
Pengasas NAAM Datuk M. Saravanan berkata perkara itu merupakan kejayaan kepada yayasan itu kerana dapat membantu golongan berkenaan meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus meringankan beban taraf hidup masa kini.
"Program kemahiran dalam pelbagai latihan termasuk jahitan manik, kecantikan, andaman pengantin dan pembuatan kek selama tiga bulan secara percuma itu dilaksanakan sejak tahun 2015 membabitkan 100 kawasan Parlimen.
"Kami telah membuat kajian impak dan mendapati lebih 70 peratus peserta tahun lepas telah berjaya selepas mengikut program berkenaan. Untuk tahun ini seramai 2,000 wanita akan menerima latihan kemahiran berkenaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Program Pembudayaan Kepimpinan NAAM di sini hari ini.
Pada majlis itu seramai 50 wanita India di Pulau Pinang yang tamat latihan kemahiran dalam pelbagai kursus menerima sijil kemahiran.
Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata kerajaan pusat menerusi Yayasan NAAM menjana pembangunan tenaga manusia melalui pendidikan dan latihan sebagai kunci kepada penyelesaian masalah pendapatan rendah kaum India.
Katanya, yayasan itu juga berperanan untuk mengubah dan mentransformasikan nasib masyarakat India supaya menjadi usahawan berjaya dalam bidang berpotensi terutama berkaitan kemahiran.
"Pendidikan dan latihan kemahiran adalah instrumen penting serta diyakini berkesan boleh mempercepatkan masyarakat India meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat India terutama golongan belia agar merebut peluang menyertai program Yayasan NAAM bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.
"NAAM diberi tanggungjawab menjadi ejen perubahan kepada masyarakat India ke arah memperkasakan ekonomi masing-masing, jadi mereka perlu serius merebut peluang kerana pelbagai kemudah disediakan secukupnya bagi mengubah kehidupan golong itu ke tahap lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi #India #kemahiran #NAAM #pendidikan #Saravanan #usahawan #wanita
;