70 pelajar dan 3 guru SMA Kuala Lipis diserang beguk

Noraniza Kamsani
Mac 2, 2018 19:12 MYT
Mereka mengalami tanda-tanda mengalami penyakit berkenaan seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan serta bengkak dan sakit di kelenjar air liur. - Foto Astro AWANI / Noraniza Kamsani
70 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Lipis, di sini dikesan menghidap kluster Mumps atau beguk sejak 20 Februari lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sha'ari Ngadiman berkata, bagaimanapun kesemua pesakit adalah stabil dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
Beliau berkata, mereka mengalami tanda-tanda mengalami penyakit berkenaan seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan serta bengkak dan sakit di kelenjar air liur.
"Kebiasaannya, mereka yang terkena penyakit ini akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Sha'ari berkata, penyakit itu disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan, air liur dan sentuhan objek yang tercemar dengan air liur pesakit.
Beliau berkata, jangkitan virus berkenaan adalah biasa dalam kebanyakan kes dan akan sembuh sepenuhnya tanpa pesakit mengalami komplikasi seperti jangkitan testis, telinga, otak dan ovari.
Sementara itu, pihaknya turut menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan kepada semua pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan berikutan kes penyakit beguk yang direkodkan di sekolah itu.
"Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah Lipis juga melakukan pemantauan secara harian kepada warga sekolah berkenaan.
"Orang ramai yang mengalami gejala atau tanda berkaitan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan awal di premis fasiliti kesihatan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
"Mereka juga perlu memastikan kebersihan diri dan persekitaran terjaga bagi mengelakkan dijangkiti penyakit ini selain sentiasa mengamalkan etika batuk yang betul," katanya.
#beguk #guru #kesihatan #pelajar #sekolah #SMA Kuala Lipis #virus
;