70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi COVID-19 - Dr Noor Hisham

Wan Syamsul Amly
Ogos 11, 2021 11:15 MYT
Jelas Dr Noor Hisham, sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di negara ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi COVID-19 dilaporkan sehingga 9 Ogos lepas berbanding tiada kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan dilaporkan pada 2020.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di negara ini dijangkiti COVID19.
Jelasnya, sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di negara ini.
Tambahnya, jumlah kes yang dilaporkan juga semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (sebanyak 850 kes) dan Jun 2021 (sebanyak 899 kes).
"Tren peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan ibu hamil adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia secara keseluruhan.
"Peratus ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari 3 peratus pada 10 Julai 2021 kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos 2021.
"Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti COVID-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit COVID-19 kritikal ialah 1 dalam 20," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Dr Noor Hisham, nisbah itu jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220.
Katanya lagi, bagi tahun 2021, purata kes COVID-19 kepada ibu hamil bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan.
Bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian.
Jelasnya, data turut menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin, manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin COVID-19.
Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid.
Sehingga 8 Ogos 2021, seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin COVID-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun 2021.
Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sementara sebanyak 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Namun ujarnya, berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.
Jelas Dr Noor Hisham, pihaknya sentiasa memandang serius penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil dengan mengambil kira golongan itu adalah kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan teruk, selain individu yang mempunyai komorbid dan warga emas.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ibu hamil lebih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk dan memerlukan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bantuan pernafasan (invasive ventilation) berbanding wanita yang tidak hamil.
Jangkitan COVID-19 tahap yang lebih teruk kerap berlaku pada trimester kedua dan ketiga.
#COVID-19 #dos pertama #ICU #jangkitan #MySejahtera #vaksin #warga emas #WHO