70,000 dos vaksin CanSino tiba di Sabah minggu depan
Eleanor Michelle Patrick
Ogos 21, 2021 16:37 MYT
Ogos 21, 2021 16:37 MYT
TUARAN: Sebanyak 70,000 vaksin dos tunggal jenis CanSino akan diterima Sabah pada minggu hadapan, kata Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelas Ketua Menteri Sabah, jumlah itu akan ditambah secara berperingkat-peringkat memandangkan Sabah sebelum ini telah memohon 1.8 juta dos vaksin CanSino daripada Kerajaan Pusat.
"Pada minggu depan, kita akan menerima lagi vaksin sebanyak 560,720 ribu iaitu jenis Pfizer, Sinovac dan CanSino. Apa yang dimaklumkan kepada saya, 70,000 vaksin CanSino akan dibekalkan ke Sabah minggu depan.
"Jadi dengan bekalan vaksin ini, ianya akan dapat meningkatkan lagi peratusan vaksinasi kepada rakyat kita di Sabah," katanya selepas membuat lawatan di Hospital Tuaran dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sulaman pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, bekalan vaksin dos tunggal itu akan mempergiat usaha vaksinasi kepada penduduk luar bandar, pulau-pulau dan pekerja perladangan.
Mengulas mengenai tahap pemberian vaksin di Sabah, Hajiji melahirkan rasa puas hati.
Setakat semalam, 63 peratus penduduk sudah menerima dos pertama sekali gus beliau percaya Sabah mampu mencapai 40 peratus lengkap menerima vaksin dalam waktu terdekat.
Kata Hajiji, keyakinan itu disandarkan apabila melihat kadar pemberian vaksin mencapai 60,000 orang sehari.
"Jika semuanya berjalan dengan baik, Sabah boleh mencapai 60 peratus rakyat yang divaksin pada awal ataupun sebelum 15 September akan datang ini.
"Jadi ini cukup memberansangkan, cukup menggembirakan kita kerana jika ini berterusan kita boleh mencapai kelompok imuniti sekurang kurangnya mungkin pada bulan Oktober ataupun November akan datang ini," katanya lagi.
Sementara itu, Hajiji turut memohon agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan menaik taraf Hospital Tuaran menjadi sebuah hospital pakar.
#CanSino
#CanSino Sabah
#Sabah
#Hajiji Noor
#Vaksin tiba di Sabah
#COVID-19
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan