70,000 anggota, 800 SJR dikerahkan ketika 'total lockdown' 1 Jun ini - Hamzah

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 29, 2021 14:28 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengerahkan lebih 70,000 anggotanya daripada pelbagai agensi untuk memastikan penutupan penuh 'total lockdown' Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula pada 1 Jun ini akan dilaksanakan sebaik mungkin dari sudut penguatkuasaan.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jumlah anggota ketika ini juga akan ditambah kekuatannya dalam menjayakan PKP kali ini.
“KDN mengambil sikap tegas untuk pastikan kejayaan menangani COVID-19 kali ini. PDRM buat masa ini telah mengerahkan lebih 37,000 anggota dan selepas berbincang kita telah setuju untuk tambah 55,000 anggota keseluruhan.
“15,000 lagi anggota daripada agensi lain termasuk ATM dan agensi-agensi di bawah KDN seperti APMM, RELA dan sebagainya,” jelasnya dalam sidang media hari ini.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Tambah Hamzah, jumlah sekatan jalanraya (SJR) juga akan ditingkatkan menjelang 1 Jun ini.
“Buat masa ini lebih 600 sekatan jalanraya (SJR) dilakukan di seluruh negara dan kita akan tambah jumlah tersebut kepada 800 SJR,” tambahnya.
Selain itu, Op Benteng dan juga kawalan di sempadan pintu masuk negara juga akan dipertingkatkan bagi memastikan tiada pencerobohan warga asing dan kemasukan secara haram.
Malah jelasnya warga asing yang ditangkap akan dipenjarakan dan perkara ini telah dibincangkan bersama Jabatan Penjara Malaysia.
Menyentuh mengenai SOP rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan sebagainya Hamzah menjelaskan bahawa perkara itu diserahkan kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri untuk memutuskanya.
#Hamzah Zainuddin #PDRM #KDN #haram #Malaysia #COVID-19 #APMM #SOP #ATM #SJR #Kementerian Dalam Negeri #penjara #warga asing #PKP #rentas negeri #total lockdown
;