7 wilayah di Lembah Klang alami gangguan bekalan air tidak berjadual

Astro Awani
Julai 23, 2024 07:10 MYT
Air Selangor sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tujuh wilayah di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, ia berikutan empat Loji Rawatan Air (LRA) Selangor dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Selasa.
Katanya, empat LRA itu ialah LRA Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3.
"Senarai kawasan di wilayah Air Selangor yang terjejas akan dikongsi dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Air Selangor sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna.
Menurut Air Selangor, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," katanya.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
#Lembah Klang #gangguan bekalan air #pencemaran bau #Air Selangor