7% tempat letak kereta untuk pemandu wanita
Syafique Shuib
Januari 15, 2013 16:17 MYT
Januari 15, 2013 16:17 MYT
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tujuh peratus dari tempat letak kereta di premis-premis komersial perlu dikhaskan kepada wanita hari ini.
Peraturan ini adalah untuk bangunan-bangunan baharu dan juga sedia ada di Kuala Lumpur. Namun, beliau juga akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengkaji untuk menguatkuasakan sistem tersebut di kawasan terbuka.
“Untuk premis yang sedia ada, kita akan memberi waktu bagi mereka untuk melaksanakan sistem ini. Tetapi apabila mereka hendak membaharui lesen tempat letak kereta mereka, pihak DBKL akan syaratkan sistem ini. Lesen mereka tidak akan diperbaharui jika mereka gagal melaksanakan sistem ini,” kata Raja Nong Chik.
Hanya wanita bersendirian dibenarkan untuk menggunakan tempat letak kereta ini dan tidak mahu mana-mana pihak menyalahgunakan kemudahan ini, termasuk wanita yang membawa penumpang bersama mereka.
“Mereka bersama anak-anak kecil masih boleh menggunakan kemudahan ini. Namun, wanita yang mempunyai anak yang sudah dewasa tidak digalakkan menggunakan kemudahan ini kerana wanita bersendirian yang sering menjadi mangsa ragut.
“Mereka harus ikut peraturan. Jikalau ada pihak lelaki ataupun wanita yang memandu bersama penumpang menyalahgunakan kemudahan, pihak pengurusan harus mengambil tindakan seperti meragam kereta mereka,” tegas beliau.
Ini adalah antara satu inisiatif untuk membeteras masalah ragut dan untuk meningkatkan pengawasan keselamatan di premis-premis komersial.
“Dengan pendekatan ini, kita amat yakin dapat mengurangkan statistik jenayah kawasan-kawasan tempat letak kereta melibatkan wanita dan pada masa yang sama memberi jaminan bahawa kawasan-kawasan tersebut adalah selamat,” tambah beliau.
Antara ciri-ciri yang terdapat di kawasan tempat letak kereta khas wanita ini adalah seperti papan tanda, butang kecemasan, CCTV, lampu cahaya yang lebih terang dan juga dekat dengan pintu masuk bangunan.
Raja Nong Chik ditemui ketika pelancaran tempat letak kereta wanita di KLCC. Sistem baharu ini dan Sistem Panduan Tempat Letak Kereta KLCC akan mula beroperasi mulai hari ini.
#Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
#Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
#tempat letak kereta wanita