7 tahun beri makan kuda dan lembu sebelum ke sekolah

Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 1, 2020 22:53 MYT
Cevine Jaharin mula belajar menjaga kuda dan lembu sejak berusia empat tahun. -Astro AWANI
"Bangun pukul 4.30 pagi, bagi makan kuda dan lembu.
"Pastikan kuda dan lembu tidak sakit perut, baru boleh bersiap untuk ke sekolah.
"Kalau ada yang sakit, saya akan lewat ke sekolah."
Itu adalah rutin harian bagi seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Apin-Apin, Keningau, Cevine Jaharin, 17, yang begitu tenang menceritakan perjalanan hidup sehariannya.
Rakan seusianya pasti tidak sanggup bangun seawal jam 4 pagi setiap hari, tetapi tidak bagi Cevine kerana rutin itu telah dilakukan sejak berusia 10 tahun.
Jika pada usia 17 tahun mungkin ada segelintir remaja yang mahu berbuat demikian, tetapi adakah pada usia seawal 10 tahun mereka rela melakukan perkara sama? Persoalan itu juga dijawab dengan tenang Cevine kepada penulis semasa kunjungan ke rumah sewa bapanya di Kampung Takad, Keningau baru-baru ini.
"Ya, hari-hari saya buat kerja bagi makan kuda dan lembu sejak Tahun Empat.
"Bangun pukul 4.30 pagi, bagi makan kuda dan lembu kemudian pastikan kuda dan lembu tidak sakit perut, baru boleh bersiap untuk ke sekolah.
"Kalau ada yang sakit, saya akan lewat ke sekolah," katanya yang kurang petah berbicara ketika ditemu bual.
Menurut Cevine biarpun sering lewat, dia tetap berusaha menghadirkan diri ke sekolah, kecuali jika ada kecemasan seperti bapanya atau haiwan jagaannya sakit.
"Ayah memang ada penyakit, sebab itu saya bantu ayah.
"Sama ada ayah sakit atau tidak, saya tetap lakukan perkara sama setiap hari.
"Cuma ada gangguan sikit pada waktu persekolahan jika ada kuda dan lembu yang sakit, saya akan kenal pasti kesakitan apa yang dialami kuda atau lembu seperti yang diajarkan ayah kemudian saya akan bagi ubat.
"Kadang-kadang ia memakan masa yang agak lama sebab ada yang terbaring," katanya yang kelihatan sedikit keletihan selepas sesi persekolahan, namun senyuman tetap terukir di wajahnya ketika menjawab soalan penulis.
Bagi pelajar yang menggemari subjek Bahasa Melayu dan Sejarah ini, dia amat mengharapkan kejayaan dapat diraihnya selepas ini agar dapat menyumbang kembali kepada keluarga.
"Saya nak bantu keluarga untuk beli sebuah rumah.
"Saya nak beri mereka kesenangan dan keselesaan sebab itu perkara pertama yang akan saya buat apabila saya telah mempunyai perkerjaan nanti," jelasnya yang tinggal bersama ibu bapa serta tiga lagi adik-beradik.
Penulis berasa amat terhutang budi dengan Pengetua SMK Apin-Apin, Dorothea Caherina Onong, kerana maklumat berhubung pelajar yang diletakkan dalam kategori tercicir ini diperoleh daripada beliau.
Semasa kunjungan di rumah Cevine, pengetua terbabit bersama dua guru lain turut bersama kami.
"Selain dari Cevine, kami sebenarnya mempunyai lebih dari 10 orang pelajar dalam kategori sama.
"Masalah keciciran ini telah berlaku sejak lama dahulu, banyak faktor penyumbang antaranya ekonomi keluarga pelajar dan cara pemikiran keluarga," katanya.
Menurut Dorothea terdapat kes-kes keciciran pelajar berpunca daripada ibu bapa mereka yang kurang menitik beratkan soal pendidikan.
"Ibu bapa, kalau kita miskin pun atau susah tapi kalau ada kesedaran ibu bapa akan bermati-matian menghantar anak-anak ke sekolah.
"Jadi sekarang terpulanglah kepada ibu bapa, itu tanggungjawab mereka tetapi kalau mereka tiada kesedaran, susah di kemudian hari kerana anak-anak juga tiada kesedaran (kepentingan pendidikan).
"Anak-anak ini akan hilang tempat bergantung jadi itulah sebab kadar keciciran semakin meninggi terutama di Apin-Apin ini," katanya yang turut berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Jelasnya bagi mengurangkan masalah tersebut dan demi ingin melihat anak bangsa berilmu serta berjaya, sebuah program khidmat masyarakat dibuat hasil inisiatif guru-guru yang dinamakan Program Cakna.
"Kami melalui Program Cakna buat kunjungan dari rumah ke rumah seperti ini.
"Kami ikut pelajar ke sini bagi melihat keadaan pelajar kita dan kita juga sampai ke kampung yang sangat jauh contohnya kampung Rantai Bundu.
"Kita datang bukan apa, kita datang mahu bertanya kenapa pelajar ini tidak datang ke sekolah.
"Dan rata-rata maklum balas adalah tentang masalah ekonomi keluarga, jadi kebiasaannya kita setakat boleh bagi motivasi sahajalah kepada pelajar," katanya.
Menurutnya lagi, bagi membantu meringankan beban keluarga yang tinggal di pedalaman dan memudahkan akses ilmu kepada pelajar, pihak sekolah telah berusaha mendapatkan dana luar bagi membina sebuah asrama.
"SMK Apin-Apin setakat ini telah berjuang bagi membina asrama kerana sekolah ini adalah salah sebuah sekolah menengah yang tiada asrama.
"Kita sebenarnya telah mendapat sumbangan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah untuk membina asrama tetapi buat masa ini kita masih lagi menunggu kelulusan dari jabatan dan kementerian untuk peruntukan makan minum.
"Saya harap dengan adanya asrama ini akan dapat menyelesaikan masalah pelajar-pelajar yang menghadapai masalah untuk datang ke sekolah disebabkan masalah kewangan," jelasnya.
Tambah Dorothea, ketidakcekapan mod pengangkutan awam di daerah itu terutama bagi kemudahan murid atau pelajar turut menyumbang kepada masalah keselamatan dan pelanggaran undang-undang jalan raya.
"Kerana tiada akses kepada pengangkutan awam dan masalah kewangan, ada kalangan pelajar yang terpaksa menunggang motosikal ahli keluarga walaupun masih berada di Tingkatan Satu atau Dua.
"Selain berdepan kemungkinan kecelekaan di jalan raya, mereka ini juga terdedah kepada tindakan pihak berkuasa yang akan menyaman mereka.
"Bagi yang ada kewangan mencukupi mungkin boleh bayar saman, tapi bagi yang betul-betul kurang berkemampuan bagaimana?
"Pihak berkuasa pun sebenarnya ada tanggungjawab mereka, mereka tidak salah dalam soal itu," jelasnya yang amat mengharapkan lebih ramai pelajar seperti Cevine yang cekal menimba ilmu walaupun berada dalam keluarga kurang berkemampuan.
#akses #ekonomi #keluarga kurang berkemampuan #Keningau #keselamatan #miskin #pedalaman #pelajar #pendidikan #remaja #sekolah #undang-undang
;