'7 produk kosmetik didapati mengandungi racun' - KKM
Afiq Ariffin
Januari 30, 2019 14:22 MYT
Januari 30, 2019 14:22 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar mengelakkan dari membeli dan menggunakan beberapa produk kosmetik setelah dikenal pasti mengandungi racun berjadual yang mampu memberikan kesan mudarat jika digunakan.
Kementerian itu berkata tujuh jenis produk yang dikenal pasti itu dipercayai mengandungi bahan beracun seperti hydroquinone, tretinoin dan merkuri.
Susulan itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh KKM.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
Selain itu, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Orang awam yang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang komplikasi atau ketidakselesaan.