7 pakaian istiadat Diraja yang sering mencuri perhatian

Astro Awani
Januari 7, 2019 15:50 MYT
Pending Diraja ini antara pakaian istiadat yang bakal kita lihat pada majlis pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16 nanti. -Bernama
KEHADIRAN seorang Sultan atau Raja mencemar duli di suatu majlis sudah tentu mencuri perhatian, bukan hanya kerana pembawakan diri baginda, tetapi juga busana yang dipakai yang serba kaya dengan simbol dan resam adat Melayu.
Kini, susulan pengumuman peletakan jawatan Sultan Muhammad V selaku Yang Dipertuan Agong Ke-15, pakaian-pakaian istiadat ini bakal kita lihat tidak lama lagi pada majlis pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16 kelak.
Tengkolok Diraja
Dibuat menggunakan kain tenunan sutera, tengkolok diraja diikat dengan pelbagai bentuk ikatan yang digelar solek di ulunya.
Bentuk solek dan warnanya berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri.
Tengkolok Diraja yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan, Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi, lawatan-lawatan rasmi Baginda ke negeri-negeri di Malaysia dan semasa Perasmian Pembukaan Sesi Penggal Persidangan Parlimen adalah berwarna hitam bersulam benang emas.
Soleknya dinamakan 'Dendam Tak Sudah' yang berasal dari Negeri Sembilan. Di hadapan tengkolok ini pula dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas, yang diperbuat daripada emas putih.
Di tengah-tengah bintang itu terletaknya lambang Kerajaan Malaysia.
Muskat
Muskat adalah pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara.
Namanya diinspirasikan dari negara Muskat (kini Oman) dan ia diubah suai daripada pakaian rasmi pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah.
Pakaian rasmi ini mula dipakai pada tahun 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga. Ia diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia.
Baju ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan, Hari Ulangtahun Keputeraan baginda, lawatan-lawatan rasmi ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan semasa Perasmian Sesi Penggal Persidangan Parlimen.
Mess Kit
Mess kit merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika menghadiri majlis santapan malam beristiadat.
Ia telah diwujudkan susulan keputusan yang dibuat Jemaah Menteri pada 20 Februari 2009.
Reka bentuknya menyaksikan awan larat pada kolar dan lengan baju serta bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia.
Mess Kit ini dipakai bersekali dengan vest dan kemeja berwarna putih dan seluar panjang hitam yang mempunyai jalur berwarna keemasan di bahagian tepi.
Pending Diraja
Pending Diraja ini diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan dengan permata delima dengan lambang kerajaan Persekutuan di tengah-tengahnya.
Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.
Keris Pendek Diraja
Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas.
Hulu keris ini dinamakan 'Hulu Pekaka' dan berupa kepala 'Garuda'. Di sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan.
Keris ini adalah salah satu pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, ia hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Gendik Diraja
Gendik (Pemeles) adalah pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang berbentuk tiara yang dipakai di kepala.
Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Di atas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih.
Gendik ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ia direka khas supaya boleh dicerai menjadi loket dan kerongsang.
Kalung Diraja
Kalung ialah rantai leher yang dipakai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian.
Kalung ini merupakan sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Ia juga boleh diceraikan menjadi sepasang subang, kerongsang dan kerabu.
#Busana #gendik #Istana Negara #kalung diraja #keris #mess kit #muskat #pakaian diraja #Pertabalan #Sultan Muhammad V #Sultan Nazrin Shah #tengkolok #Yang di-Pertuan Agong
;