7 lelaki didakwa bunuh, tanam rakan dalam kolah

Adie Sufian Zulkefli
Februari 26, 2025 15:52 MYT
Semua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki tempatan dan enam warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan membunuh dan menanam rakan sekerja di dalam kolah Januari lalu.
Tertuduh rakyat tempatan, K Ganesan, 35, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadpnya dibaca dalam bahasa Tamil.
Enam lagi tertuduh yang juga etnik Rohingya, Ruhul Amin Noor Mohammed, 28, Muhammad Rofik Shakir Muhammad, 40, Mohamed Saker Futum Busu, 46, Muhammad Faruk Mohamad Solim, 30, Mohamad Islam Boli Amin, 52, dan Hamidah Begum Rudoil, 47, turut mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak dalam bahasa Myanmar di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa membunuh seorang etnik Rohinga, Abdul Khair Abdul Kalam antara jam 10 pagi hingga 3 petang 27 Januari 2025 lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di rumah bernombor 83, Taman Loke Poh Seong (Taman Setia Jaya Bakar Arang) Jalan Kampung Sungai Baru di dalam daerah Kuala Muda.
Bagi kesalahan itu kesemua mereka didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara tidak lebih 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah dikenakan 12 sebatan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan diberikan.
Mahkamah kemudinnya menetapkan 17 April depan sebagai tarikh semula sebutan sementara menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Nur Hazwani Md Noor manakala kesemua tertuduh di wakili tiga orang peguam.
Dalam kejadian itu seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai dipukul hingga maut selepas didakwa mencuri wang lebih RM40,000 serta barang kemas milik majikannya.
Mayat mangsa berusia 20-an dan bekerja sebagai tukang rumah itu ditemukan dibungkus dengan kain cadar sebelum dimasukkan ke dalam kolah dan ditimbus tanah.
#kes bunuh #Rohingya #tanam dalam kolah #Sungai Petani
;