7 kambing mati diserang harimau, penternak kerugian RM14,000

Bernama
Disember 13, 2021 04:18 MYT
Perhilitan sudah memasang perangkap di sekitar kawasan tersebut dan berharap harimau berkenaan dapat ditangkap secepat mungkin. - Gambar hiasan
MARANG: Seorang penternak kambing di Kampung Bukit Kor dekat Rhu Rendang di sini menanggung kerugian hampir RM14,000 apabila tujuh ekor kambing miliknya mati akibat serangan harimau sejak awal bulan ini.
Ngah Abdul Ghani, 53, berkata serangan pertama berlaku pada 2 Dis, seterusnya pada Rabu (8 Dis) dan yang terbaru pada Jumaat lepas (10 Dis).
"Terkejut sangat bila tengok tiga ekor kambing mati bergelimpangan dengan kesan gigitan di leher pada kejadian pertama, memang ada nampak kesan tapak kaki binatang yang menyerang di sekeliling kandang, cuma saya tak pasti binatang apa.
"Saya ingatkan serangan setakat itu sahaja, rupanya berlaku lagi menyebabkan saya membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membuat laporan terperinci mengenai perkara tersebut.
"Penternak yang ditimpa musibah seperti ini boleh mendapat bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian, jumlahnya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang diadakan kelak. Walaupun jumlah bayarannya tidak banyak, sekurang-kurangnya boleh memberi motivasi untuk penternak meneruskan usahanya.
"Selain itu, Perhilitan juga sudah memasang perangkap di sekitar kawasan tersebut dan kami berharap harimau berkenaan dapat ditangkap secepat mungkin bagi mengelak serangan berulang," katanya.
-- BERNAMA
#Penternak kambing #harimau #Ngah Abdul Ghani #Perhilitan
;