7 individu leka berjudi tahan, dikompaun

Adie Sufian Zulkefli
September 5, 2021 06:15 MYT
Ketika serbuan dilakukan, wang berselerakan di atas meja dan cubaan suspek melarikan diri gagal. - Astro AWANI
PENDANG: Seramai tujuh individu yang sedang leka berjudi ditahan dan dikenakan kompaun dalam serbuan di sebuah bengkel besi di Pekan Tanah Merah di sini semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia antara 45 hingga 66 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada jam 6 petang.
Katanya kesemua mereka tidak menyedari kehadiran polis yang masuk melalui pintu belakang premis terbabit.
Tambahnya ketika serbuan dilakukan, wang berselerakan di atas meja dan cubaan suspek melarikan diri gagal.
Polis turut merampas satu set daun terup bersama wang tunai sebanyak RM4,250 dipercayai wang pertaruhan.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Pendang untuk tindakan lanjut.
Mereka juga dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Jelas Kamarul Zaman, kesemua suspek didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
Kompaun turut dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(PPN (NO.2)2021 ke atas setiap seorang.
#judi #serbuan #kompaun #bengkel besi
;