7 individu ditahan sindiket sasar rakyat Hong Kong
Umavathi Ramayah
Mac 14, 2025 23:57 MYT
Mac 14, 2025 23:57 MYT
Hussein Omar Khan berkata, tangkapan ke atas mereka dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor dengan kerjasama pakar analisis media sosial. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita yang bertindak sebagai operator pusat panggilan dalam sindiket penawaran kerja sambilan yang menyasarkan rakyat Hong Kong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan ke atas mereka dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor dengan kerjasama pakar analisis media sosial.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek yang bekerja sebagai operator pusat panggilan peringkat kedua itu akan meminta mangsa untuk melengkapkan beberapa tugasan kononnya akan membolehkan mangsa menerima pulangan 20 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut Hussein, tugasan tersebut dikongsi dengan mangsa menerusi pautan di aplikasi Telegram, yang kemudiannya digunakan untuk menipu mangsa.
Dalam serbuan itu kata beliau, polis turut merampas tujuh buah komputer riba pelbagai jenama, 12 telefon bimbit, satu router, serta rangkaian kunci rumah beserta kad akses.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tuduhan penipuan.
Hussein turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dalam talian yang mencurigakan.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dan pengesahan dengan agensi-agensi berkaitan sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.