7 ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di Petaling Jaya

Afiezy Azaman
Jun 8, 2020 03:06 MYT
Anggota polis trafik sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya dalam Op Alkohol, pada Ahad. Gambar/Polis
Seramai tujuh lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, operasi bermula 11 malam Ahad hingga 3 pagi tadi melibatkan pemeriksaan ke atas 375 pengguna jalan raya dengan 360 kenderaan.
"Seramai tujuh lelaki berusia 28 hingga 51 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, melebihi daripada yang telah ditetapkan.
"Pada masa sama, pihak polis juga telah mengeluarkan sebanyak 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dan kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 45(a) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee menegaskan hasil tinjauan masih terdapat pengguna jalan raya yang berdegil dan memandu di bawah pengaruh alkohol.
"IPD Petaling Jaya akan terus melaksanakan operasi ini, khususnya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan di dalam pentadbiran IPD Petaling Jaya," jelasnya.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #di bawah pengaruh alkohol #IPD Petaling Jaya #Nik Ezanee Mohd Faisal #Op Alkohol #Pencegahan Jenayah #pengguna jalan raya #Seksyen 45 a 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987