7.9 juta rakyat Malaysia akan terima manfaat peruntukan BR1M

Astro Awani
Februari 22, 2014 08:00 MYT
Hampir 7.9 juta penerima akan menerima manfaat dari Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 dengan peruntukan berjumlah RM4.6 bilion.
Ia meliputi 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.
Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650.
Manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.
Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.
Menerusi BR1M 2014, kerajaan turut memperkenalkan insurans takaful berkelompok rakyat 1Malaysia (I-BR1M) bernilai RM50 kepada penerima isi rumah BR1M dengan nilai perlindungan minimum RM1,000 (kematian biasa) dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.
BR1M pertama kali diperkenalkan pada Januari 2012 dengan peruntukan RM2.6 bilion dan memanfaatkan 5.2 juta isi rumah, iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia.
#bantuan #BR1M #manfaat
;