7,294 kes COVID-19 dicatatkan di Perak sepanjang tahun ini
Bernama
Disember 22, 2023 14:49 MYT
Disember 22, 2023 14:49 MYT
IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melaporkan sebanyak 7,294 kes COVID-19 direkodkan di negeri ini sejak 1 Jan hingga 16 Dis lepas berbanding 108,859 kes dicatatkan bagi tempoh sama, tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata angka berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 101,565 kes atau 93.3 peratus.
"Sebanyak 53 kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan di Perak bagi tempoh 1 Jan hingga 16 Dis lepas," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata peratus liputan vaksinasi COVID-19 bagi penduduk negeri ini dari 1 Jan hingga 21 Dis lepas menunjukkan 80.7 peratus individu telah mengambil dos pertama, dos kedua (79.1 peratus), dos penggalak 1 (46.9 peratus) manakala 1.7 peratus bagi dos penggalak 2.
Menurut Sivanesan JKN Perak akan terus melakukan pemantauan terhadap penularan wabak COVID-19 selain tumpuan diberikan terhadap golongan berisiko seperti warga emas yang menghidap penyakit jantung, diabetis, kanser serta respiratori kronik.
"Pihak JKN juga telah berhubung dan memberi pendidikan kesihatan serta nasihat langkah pencegahan penyakit COVID-19 di pusat-pusat penjagaan warga emas di Perak," katanya.
Sivanesan sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan amalan kendiri termasuk memakai pelitup muka di tempat awam bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak.
"Pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu yang bergejala, mempunyai penyakit kronik dan sebagainya terutama ketika berada di tempat yang tertutup, sempit dan sesak serta semasa berada dalam pengangkutan awam," katanya.
-- BERNAMA