7,175 individu dikuarantin di 30 hotel, lima pusat ILA - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
Ogos 7, 2020 17:06 MYT
Ismail Sabri berkata, 20 individu yang disahkan positif COVID-19 ketika menjalani ujian saringan di pintu masuk negara dihantar ke hospital berhampiran. - Gambar fail/BERNAMA
Seramai 7,175 individu yang pulang dari luar negara sejak 24 Julai hingga 6 Ogos ditempatkan di 30 buah hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 20 individu yang disahkan positif COVID-19 ketika menjalani ujian saringan di pintu masuk negara dihantar ke hospital berhampiran.
"Seramai 7,175 individu yang pulang dari luar negara sejak 24 Julai hingga 6 Ogos ditempatkan di 30 buah hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, pada Jumaat.
Kerajaan mewujudkan kembali pusat-pusat kuarantin bagi menempatkan individu yang masuk ke dalam negara selepas beberapa individu gagal mematuhi perintah kuarantin.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, individu-individu itu datang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan dan Arab Saudi.
Juga katanya, datang dari Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,520 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.
"Semalam (6 Ogos 2020), sebanyak 14 operasi sanitasi meliputi 14 zon yang melibatkan enam buah negeri termasuk Sabah (tujuh operasi), Sarawak dan Melaka (dua operasi) sementara masing-masing satu operasi di Pahang, Kedah dan Terengganu," ujarnya.
#COVID-19 #hotel #ILA #Institut Latihan Awam #Kementerian Pertahanan #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #kuarantin #PKPP #sanitasi
;