7,000 penduduk Sibu terima vaksin mulai esok
Fadilah Sulaiman
Mei 17, 2021 19:48 MYT
Mei 17, 2021 19:48 MYT
SIBU: Hampir 7,000 penduduk di Sibu akan menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Sibu bermula, esok.
Menteri Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk kumpulan ketiga itu akan berlangsung selama 13 hari sehingga 29 Mei ini.
“Mulai 18 Mei, hampir 7,000 penduduk Sibu akan mendapat (vaksin) dos pertama mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berharap agar bakal penerima vaksin hadir ke PPV mengikut masa yang telah ditetapkan bagi mengelak kesesakan berlaku.
Terdahulu, beliau melawat ke PPV Sibu bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar yang dijangka bermula seawal jam 9 pagi.