69 mangsa banjir dipindahkan di Melaka
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 17, 2020 04:50 MYT
Oktober 17, 2020 04:50 MYT
JASIN: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di sini selepas empat kampung di kawasan itu dinaiki air.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, seramai 69 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.
“Kesemua mangsa iaitu 27 lelaki dan 42 perempuan, dipindahkan dari empat kampung di daerah berkenaan selepas hujan berterusan sejak semalam dan limpahan air di Sungai Ayer Panas.
“Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Lubuk Kasau dan Kampung Hulu Duyung di Bemban, serta Kampung Parit Lampong dan Kampung Tanjung Laboh di Tehel,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Katanya, hujan lebat bermula jam 2 pagi Jumaat dan berterusan lebih tiga jam dan menyebabkan air Sungai Ayer Panas melimpah.
Tambahnya, pemantauan berkala akan dilakukan dari semasa ke semasa serta bagi mengenal pasti angka sebenar mangsa yang terjejas.
#banjir
#dinaiki air
#kampung
#Jasin
#Melaka
#PPS
#Effendy Ali
#pusat pemindahan
#Pusat Pemindahan Sementara
#SK Tehel
#angkatan pertahanan awam
#pindah
#Sungai Ayer Panas
#hujan
#limpahan air
#Tehel
#APM