68 pesakit bibir sumbing cuba nasib
Raffi Bachik
Disember 14, 2017 19:56 MYT
Disember 14, 2017 19:56 MYT
Seramai 68 pesakit yang mengalami kecacatan bibir sumbing dan rekahan lelangit mencuba nasib untuk mengubah kehidupan mereka dengan mendaftar sebagai peserta Program Bakti Sosial Pembedahan Bibir Sumbing dan Rekahan Lelangit 2017.
Daripada jumlah berkenaan 25 peserta merupakan anak jati Melaka manakala selebihnya dari luar negeri termasuk Indonesia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, program anjuran Biro Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) berkenaan telah diadakan di Hospital Pakar Putra sejak 2014 lalu.
Beliau berkata, program itu memberi kehidupan baru yang lebih baik kepada semua pesakit yang menjalani pembedahan itu khususnya pesakit daripada negara jiran, Indonesia.
Menurutnya, saringan akan dilakukan terhadap kesemua peserta yang mendaftar dan mereka yang terpilih akan menjalani pembedahan oleh pakar-pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) bermula Sabtu dan Ahad ini.
"Hari ini ini kita mendapati ramai dalam kalangan masyarakat Melaka memiliki malsalah bibir sumbing yang tidak kritikal berbanding.
"Ekoran itu, mereka merasakan mungkin tidak perlu untuk menjalani pembedahan. Namun mereka lupa pakar kita berupaya untuk membaikinya dan seterusnya 'mengubati' kecacatan itu," katanya pada program tersebut di sini pada Khamis.
Sementara itu, ahli keluarga kepada peserta yang berpeluang membuat pembedahan percuma di bawah program ini bersyukur kerana terpilih dan melahirkan kegembiraan apabila anak mereka bakal kembali normal seperti kanak-kanak lain.
Kata mereka, tiada apa yang lebih menggembirakan hati ibu bapa selain melihat anak mereka bebas dari segala kesakitan dan kecacatan.
Bagi Paridon Mohd Yusof, 55, dia sekeluarga mengambil sehari perjalanan untuk sampai Melaka dari tempat tinggal mereka di Natuna, Indonesia.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran, dia dan isteri berpegang teguh demi anak bongsu mereka, Mohd Taat Rizqi, 12 bulan untuk menjalani pembedahan itu.
"Saya sangat berterima kasih kerana diberi kesempatan kepada kami orang susah dengan memberi bantuan kami datang dari jauh. Kami naik kapal satu hari satu malam untuk sampai ke Melaka," katanya.
#anak
#Bibir sumbing
#idris haron
#Indonesia
#Islam
#Kanak-kanak
#keluarga
#Ketua Menteri
#Ketua Menteri Melaka
#lelangit
#Melayu
#pembedahan bibir sumbing