676 tindakan sita barangan penjaja asing sepanjang 2023 - Zaliha

Bernama
Mac 14, 2024 21:00 MYT
Dr Zaliha berkata bagi Januari lepas sahaja, sebanyak 79 tindakan sita terhadap barangan warga asing telah dilaksanakan. - Gambar fail/FB Dr Zaliha Mustafa
KUALA LUMPUR: Sebanyak 676 tindakan sita terhadap barangan penjaja warga asing telah dilaksanakan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur sepanjang 2023, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bagi Januari lepas sahaja, sebanyak 79 tindakan sita terhadap barangan warga asing telah dilaksanakan.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama agensi sahabat yang berkaitan sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu di sekitar Pasar Borong dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan terhadap aduan yang melibatkan warga asing.
"Pada masa akan datang DBKL akan terus menambah baik peruntukan dan peraturan sedia ada bagi memastikan isu-isu kebanjiran warga asing di pasar borong dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Zaliha berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensinya telah menyusun pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang 2024 bersempena dengan sambutan 50 tahun Wilayah Persekutuan.
"Sebanyak 61 program telah dirangka pada tahun ini, iaitu 23 program di Kuala Lumpur, 21 program di Putrajaya dan 17 program di Labuan.
"Program-program yang interaktif dan kemasyarakatan sentiasa menjadi tumpuan rakyat. Malah program utama Hari Wilayah Persekutuan yang berteraskan konsep mesra rakyat, perpaduan serta kerjasama dapat memupuk nilai-nilai patriotik, menjadi pemangkin dalam membentuk generasi pemimpin yang tahu menghargai serta memelihara keharmonian Wilayah Persekutuan," katanya.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Noor berkata usul itu disetujukan selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas kesemua kementerian selesai menggulung perbahasan selama empat hari bermula 11 Mac lepas.
Persidangan pada hari ini menyaksikan enam kementerian menggulung perbahasan termasuk tiga jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Persidangan dewan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
#tindakan sita #barangan penjaja asing #Pasar Borong Kuala Lumpur #DBKL
;