67 peratus Orang Asli sudah divaksin - Mahdzir
Astro Awani
Oktober 9, 2021 16:49 MYT
Oktober 9, 2021 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Setakat petang Jumaat, kira-kira 67 peratus atau lebih 115,000 Orang Asli sudah divaksin, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurutnya, tumpuan pemberian vaksin diberikan kepada beberapa negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.
Tambah beliau, data terkini juga menunjukkan seramai 172,155 Orang Asli layak divaksin melibatkan golongan dewasa berjumlah 144,180 orang dan 27,975 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Ada lagi yang belum mendapat vaksin ni dalam lebih kurang 56,000. Jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai cara.
“Salah satu yang kita buat di peringkat kementerian ini adalah kita buat melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui MARA. Kita ada bas MARA Liner, kita tukar bas MARA Liner itu jadi macam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak ke kampung-kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, mereka yang masih belum divaksin bukan kerana menolak untuk divaksin sebaliknya ada dalam kalangan mereka tinggal di kawasan pedalaman dan sukar untuk ke lokasi tersebut.
“Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya.
Vaksin COVID-19 | 43 peratus masyarakat Orang Asli lengkap vaksinasi
“Ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang Yang Berhormat Timbalan Menteri terpaksa pergi dengan helikopter,” ujarnya.
Katanya lagi, bekalan vaksin untuk Orang Asli sudah mencukupi dan ia termasuklah vaksin jenis Cansino yang digunakan untuk penerima satu dos di kawasan jauh di pedalaman dan sukar dimasuki.