67 pelatih PLKN 3.0 siri pertama jalani latihan menembak senjata ringan
Faida Rahim
Februari 8, 2025 10:40 MYT
Februari 8, 2025 10:40 MYT
Pelatih memulakan sesi latihan tepat jam 9 pagi dengan latihan pelarasan senjata ringan pada jarak 25 meter diikuti jarak 100 meter menggunakan raifal M16. - Astro AWANI
SUNGAI BESI: Seramai 67 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri pertama 2025 menjalani latihan menembak senjata ringan di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi pada Sabtu.
Mereka, yang menyertai program itu secara sukarela, terdiri daripada 40 lelaki dan 27 perempuan ini memulakan sesi latihan pada 9 pagi dengan pantauan 10 jurulatih daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Tinjauan Astro AWANI mendapati pelatih memulakan sesi latihan tepat jam 9 pagi dengan latihan pelarasan senjata ringan pada jarak 25 meter diikuti jarak 100 meter menggunakan raifal M16 seberat 28 kilogram tidak termasuk kelopak (isi peluru).
Sebelum latihan bermula, Kapten Muhammad Shawal Mohamad Illias selaku jurulatih memberi taklimat ringkas kepada kesemua pelatih termasuk pengamal media yang hadir.
Ia diikuti bacaan doa oleh wakil Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Koperal Muhd Luqman Abdullah.
Terdahulu, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 siri pertama 2025 pada 12 Januari lalu membabitkan 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 hingga 25 tahun.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu termasuk 13 orang yang hadir secara walk-in pada sesi pendaftaran di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur membabitkan pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti.