668 anggota, pesara polis terima Pingat Jasa Pahlawan Negara

Nur Fazlizai Ali
Ogos 17, 2022 09:00 MYT
Antara penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan Almuktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus. - Astro AWANI
KUALA NERUS: Pengorbanan dan khidmat bakti seramai 668 pegawai, anggota dan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu yang bertugas pada zaman darurat tidak pernah dilupakan dan dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bagi menghargai jasa dan pengorbanan pejuang negara dalam memerangi ancaman komunis.
Katanya pengurniaan pingat tersebut juga membuktikan jasa mereka menjadi ingatan dan tauladan untuk generasi hari ini.
"Tahniah kepada mereka sesungguhnya jasa mereka tidak dapat dibayar dengan apa jua pemberian oleh mana-mana pihak kerana ia adalah satu pengorbanan mereka kepada negara terutama ketika berdepan dengan ancaman darurat dan komunis suatu masa dahulu.
"Pengorbanan mereka membolehkan kita berjaya mengecapi suasana aman sejahtera dan kemerdekaan pada waktu sekarang ini," katanya selepas istiadat penganugerahan pingat di Dewan Almuktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus pada Selasa.
Istiadat berkenaan adalah kali ke-4 dianjurkan oleh PDRM Kontinjen Terengganu.
Beliau sangat menghargai peranan dan pengorbanan mereka bagi memastikan kemakmuran negara.
Ahmad Samsuri berharap para pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat terus dapat memberikan khidmat sumbangan kepada negara bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan yang dicapai terus berkekalan.
#Pingat Jasa Pahlawan Negara #polis #darurat #Ahmad Samsuri Mokhtar
;