66 peratus pesakit kategori 4 dan 5 alami sindrom Post COVID - Dr Noor Hisham
Astro Awani
Jun 11, 2021 19:08 MYT
Jun 11, 2021 19:08 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 66 peratus daripada pesakit COVID-19 dari kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan mengalami sindrom Post COVID.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.
Jelasnya, dapatan itu diperoleh dalam kajian klinikal melibatkan 1,004 pesakit.
"Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan
fungsi tubuh yang terlibat. Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum.
"Kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post COVID dan ianya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa. Oleh itu, pesakit-pesakit COVID-19 yang didiscaj dari hospital akan diberikan temu janji rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
"Manakala bagi bekas pesakit COVID-19 yang masih mempunyai gejala, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran. Ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka
panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sindrom itu merupakan suatu keadaan dimana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.
Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.
Dalam pada itu jelasnya, sebanyak 16 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan jumlah kluster yang telah tamat adalah 1,683 dan jumlah kluster aktif sebanyak 755.
Ujarnya, 16 kluster baharu itu melibatkan 12 tempat kerja, tiga komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.