66,000 perniagaan di platform e-dagang tiada aturan bayaran, rekod pelaporan cukai
Bernama
Mac 4, 2025 11:00 MYT
Mac 4, 2025 11:00 MYT
Dengan pelaksanaan e-invois, LHDN memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois untuk memastikan pematuhan cukai secara sukarela dan berterusan selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara.
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 66,000 perniagaan di platform e-dagang tidak mempunyai atau mematuhi bayaran ansuran anggaran cukai mengikut peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan, perkara itu dikenal pasti melalui maklumat pengemukaan e-invois yang diterima LHDN meliputi maklumat individu dan syarikat yang menjalankan perniagaan melalui platform e-dagang sejak 1 Ogos 2024.
"Semakan juga mendapati tiada rekod pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan oleh perniagaan berkenaan.
"Sejumlah empat juta e-invois telah dikeluarkan oleh 66,000 perniagaan tersebut," demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, LHDN menyarankan peniagaan terlibat untuk sentiasa mengemas kini rekod cukai mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihaknya.
"Dengan pelaksanaan e-invois, LHDN memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois untuk memastikan pematuhan cukai secara sukarela dan berterusan selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara," menurut LHDN.
Sehingga 3 Mac, LHDN memaklumkan sekitar 196 juta e-invois telah dikeluarkan secara keseluruhan meliputi pembayar cukai fasa pertama, kedua serta pembayar cukai fasa ketiga secara sukarela.
"Ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-invois.
"LHDN juga ingin memaklumkan tempoh kelonggaran pembayar cukai fasa pertama telah tamat pada 31 Jan 2025 dan mereka ini perlu melaksanakan e-invois sepenuhnya mengikut garis panduan e-invois bermula 1 Februari 2025," menurut kenyataan itu. - BERNAMA