653kg minyak masak gagal diseludup
Sinar Harian
April 10, 2022 06:30 MYT
April 10, 2022 06:30 MYT
TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan 653 kilogram (kg) minyak masak di Kampung Bendang Pak Yong, di sini, pada Ahad.
Operasi Bersepadu dijalankan bersama Unit Ronda MPV, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada jam 10.30 pagi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri Azanizam Affendi Juri berkata, hasil risikan pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback menuju ke Kampung Bendang Pak Yong di sini.
“Pasukan berjaya menahan kenderaan tersebut, namun pemandunya dapat melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut, pasukan menjumpai minyak masak peket bersubsidi dianggarkan 653kg dipercayai bertujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, nilai rampasan barangan kawalan minyak masak peket bersubsidi yang disita dianggarkan bernilai RM1,632.50.
“Minyak masak ini dipercayai akan dibawa ke sempadan negara sebelum diseludup ke Thailand kerana mendapat permintaan tinggi.
“Kereta yang digunakan suspek dianggarkan bernilai RM4,000 turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.
Ujarnya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini bagi membanteras penyeludupan barangan kawalan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian