65 peratus Muslim Malaysia pilih produk perbankan, pelaburan patuh syariah
Bernama
Ogos 15, 2024 05:00 MYT
Ogos 15, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 65 peratus umat Islam Malaysia akan memilih produk-produk perbankan dan pelaburan yang patuh syariah, menurut kaji selidik Hong Leong Islamic Bank Bhd (HLISB).
Sehubungan itu, hasil kaji selidik berkenaan memberi peluang kepada bank untuk memanfaatkan pasaran yang semakin meningkat dalam menawarkan pendekatan pengurusan kekayaan yang komprehensif sejajar dengan prinsip-prinsip kekayaan Islam, kata Ketua Pegawai Eksekutif HLISB Dafinah Ahmed Hilmi dalam satu kenyataan semalam.
"Dalam perbankan Islam, pelaburan bukan sahaja untuk mengembangkan kekayaan peribadi anda, tetapi ia berfungsi sebagai komponen penting dalam ekosistem pengurusan kekayaan Islam, kaedah hujung ke hujung yang menangani penciptaan, pengumpulan, pengedaran, pemeliharaan dan penyucian kekayaan.
"Dibangunkan berdasarkan nilai-nilai Islam dan prinsip syariah, pendekatan komprehensif ini secara aktif menggalakkan altruisme dan tanggungjawab sosial, memastikan risiko dan keuntungan dikongsi antara mereka yang memerlukan dan mereka yang ada lebihan," katanya.
Kaji selidik oleh HLISB melibatkan 690 orang Islam Malaysia berusia antara 18 dan 77 tahun, yang kebanyakannya mencatatkan purata pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan.
Selain itu, bank berkenaan melaporkan 47 peratus umat Islam Malaysia mengakui melabur melalui tiga pilihan utama iaitu dana-dana Amanah Saham Nasional Bhd, simpanan Tabung Haji dan komoditi emas diikuti pelaburan dalam bursa saham dan akaun simpanan berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, ia berkata 77 peratus daripada responden tidak mempunyai rancangan kewangan yang didokumenkan, walaupun 84 peratus daripada mereka mempunyai keinginan untuk menjadi kaya.
Sementara itu, Ketua Syariah HLISB Akmal Solihi Mohd Yazid menekankan pentingnya pengurusan kekayaan Islam dan bagaimana bank itu mahu membantu pelanggan memanfaatkan potensi sepenuhnya.
"Dalam Islam, pemilikan, perbelanjaan dan pemeliharaan kekayaan perlu dilakukan dengan betul dan bertanggungjawab, berpegang kepada prinsip-prinsip Islam yang menyebabkan cendekiawan Islam kontemporari mencipta satu set garis panduan bagi memastikan keseluruhan usaha dalam mencari kekayaan mematuhi peraturan Islam ini.
"Dengan pasukan daripada pakar-pakar syariah yang berdedikasi dan rekod prestasi yang terbukti dalam kewangan Islam, kami memastikan penyelesaian kekayaan kami yang direka khas memenuhi garis panduan syariah yang ketat sambil memenuhi keperluan pelanggan kami yang pelbagai," katanya.
-- BERNAMA