65 kes mati lemas direkod sejak 2020 - JBPM Kelantan

Wanna Abd Rahim
Februari 3, 2023 11:15 MYT
Kebanyakan kes kematian akibat lemas berlaku di sungai selain kawasan tali air, air terjun, pantai, tasik dan pembetungan. -JBPM Kelantan
KOTA BHARU: Sebanyak 65 kematian direkodkan akibat lemas di seluruh Kelantan sepanjang dua tahun bermula 2020 hingga Februari tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zainal Madasin berkata, kebanyakan kes kematian akibat lemas berlaku di sungai selain kawasan tali air, air terjun, pantai, tasik dan pembetungan.
"Kes kematian akibat lemas yang tertinggi dicatatkan berlaku di sungai serta tali air dengan mencatatkan 52 kematian, diikuti lapan di air terjun atau jeram, tiga di pantai, satu di tasik, dan satu lagi lemas di pembetungan.
"Manakala 22 kes yang melibatkan lemas air ini telah berjaya diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Zainal turut mengingatkan masyarakat agar tidak mengabaikan aspek keselamatan terutamanya ketika berada di kawasan rekreasi dan pusat pelancongan.
Dalam pada itu, menurutnya sebanyak 14 lokasi yang dikenal pasti menjadi hotspot bagi lokasi panggilan penyelamat berhubung kes lemas di air di seluruh Kelantan.
Antara lokasi panas itu ialah di Pantai Geting, Pantai Sri Tujuh, Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Bisikan Bayu, Pantai Cahaya Bulan, Sungai Kelantan, kawasan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, Kuala Besar, Sungai Golok, Kuala Nal, Jeram Linang, kawasan rekreasi Jeram, dan air terjun Gunung Stong.
#lemas #jbpm kelantan #kawasan rekreasi dan pusat pelancongan #Pantai Geting
;