65 kenderaan klon disita di Selangor
Rahimah Abdullah
Januari 20, 2016 13:20 MYT
Januari 20, 2016 13:20 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah menyita 65 buah kenderaan klon dalam beberapa operasi yang dilakukan di negeri itu sejak tahun 2015.
Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata daripada jumlah itu, 39 kenderaan klon disita pada tahun lalu dan terbaharu, 26 buah lagi disita setakat semalam.
"Keadaan ini antaranya disebabkan pelupusan kereta di Singapura yang kemudian diseludup masuk ke Malaysia untuk diklonkan.
"Honda Odyssey paling banyak diklonkan selain kenderaan lain seperti BMW, Honda, Volkswagen, Toyota, Mazda dan Subaru," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Negeri Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, harga murah yang ditawarkan menyebabkan kereta klon berkenaan terus mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna.
"Contoh dengan RM4,000 sudah boleh beli Toyota Vios. Harga berkenaan berdasarkan pakej-pakej yang ditawarkan," kata beliau.
Mana-mana individu yang memiliki atau menggunakan kereta klon akan didakwa di bawah Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih RM10,000.
"Individu yang mempamerkan nombor pendaftaran dan lesen kenderaan lain adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelas beliau.
Pelbagai kaedah dilakukan sindiket berkenaan untuk menyeludup kenderaan klon dan mengaburi mata pihak berkuasa yang melakukan operasi.
"Kaedah yang digunakan mereka akan bawa masuk kereta model yang sama kemudian tampal plat kenderaan yang didaftar di Malaysia.
"Ada juga pemilik yang sama (pendaftaran sah), tapi dia klon lagi kereta berkenaan dengan jumlah yang banyak. Malah ada yang klon sampai 15 buah," jelasnya.
Pada masa sama, ada kes di mana kenderaan kemalangan yang kerugian seluruh (total lost) juga telah diklonkan.
"Dalam operasi dilakukan JPJ, kita akan tengok nombor casis dan nombor enjin ada atau tidak.
"JPJ juga akan mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa operasi kerana ada pemilik kenderaan klon apabila kita tahan dia bertindak agresif," ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa membeli kenderaan, terutama pemilik yang menawarkan kenderaan pada harga yang sangat rendah.
"Harap orang ramai berhati-hati dengan kes klon kenderaan ini. Sama ada dia tahu atau tidak itu adalah kereta klon, mereka akan tetap disiasat dan yang didapati bersalah akan didakwa mengikut undang-undang ditetapkan," tegas beliau.