65 individu ditahan menerusi Op Pusat hiburan, Op Noda di Kuantan
Bernama
Oktober 28, 2023 19:59 MYT
Oktober 28, 2023 19:59 MYT
KUANTAN: Polis menahan 65 individu termasuk 49 warga asing melalui serbuan Op Pusat Hiburan dan Op Noda di dua premis hiburan di Jalan Gambut di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata daripada jumlah tahanan itu, 16 adalah warga tempatan termasuk empat wanita dengan kesemua suspek berumur antara 21 hingga 49 tahun.
"Wanita warga asing yang ditahan berasal dari China, Thailand dan Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki asing dari Bangladesh, turut bekerja di premis tersebut.
"Premis dipercayai menawarkan perkhidmatan secara pakej berdasarkan kain selempang yang dirampas di lokasi tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata serbuan bermula 11 malam Jumaat dan tamat 5 pagi tadi, antara lain turut merampas wang tunai RM8,740, peralatan audio sistem dan enam helai kain selempang yang tertera nombor 1,000, 520 dan 300.
Wan Mohd Zahari berkata saringan awal mendapati 10 daripada suspek positif dadah ketamin manakala seorang suspek lelaki warga tempatan berada dalam senarai dikehendaki polis Perak bagi kesalahan tipu.
Beliau berkata premis tersebut dipercayai aktif beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada 2022 pernah dikenakan tindakan kerana beroperasi melebihi masa.
-- BERNAMA