640,000 pekerjaan tersedia, tetapi tiada yang minat - Kula Segaran
Harits Asyraf Hasnan
November 4, 2019 11:15 MYT
November 4, 2019 11:15 MYT
Sejumlah 640,000 pekerjaan sedia ada kini ditawarkan di seluruh negara di mana lebih 150,000 pekerjaan diwujudkan tahun ini.
Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, peluang pekerjaan tersebut bukan sahaja meliputi sektor 3D iaitu sukar, kotor dan berbahaya, malah merangkumi pengurusan, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu.
“Ketika saya beri jawapan sekarang, kita ada kekosongan 640,000 pekerjaan yang sedia ada. Bukan sahaja kerja 3D, ia termasuk pengurusan lebih 6,000; profesional lebih 21,000; serta juruteknik dan profesional bersekutu lebih 22,000.
“Lagi satu aspek adalah, ekonomi hijau (green economy) dikatakan boleh mewujudkan 250,000 pekerjaan dan ini telah bermula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya sama ada kerajaan mampu menunaikan janji manifesto iaitu mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pentadbiran.
Kula Segaran yang komited janji tersebut dapat ditunaikan bagaimanapun berkata, masih tidak ramai yang berminat untuk bekerja.
“Masalah besar yang kita hadapi adalah wujud kekosongan yang banyak, tetapi tidak ada anak-anak kita yang ingin mengambil pekerjaan tersebut,” jelasnya.
Terdahulu dalam soalan asal, Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) bertanya Kementerian Sumber Manusia mengenai jumlah kes pembuangan kerja.
Kula Segaran berkata, bilangan pekerja sektor swasta yang diberhentikan bagi tahun 2018 adalah 23,168 orang, melibatkan 17,236 (74.4 peratus) pemberhentian biasa dan 5,932 (25.6 peratus) pemberhentian sukarela (VSS).
“Manakala sehingga 30 September 2019, seramai 24,600 orang pekerja yang terlibat.
"Daripada jumlah itu, seramai 21,625 bersamaan 87.9 peratus pekerja, terlibat dengan pemberhentian biasa.
“Manakala, seramai 2,975 iaitu 12.1 peratus orang pekerja pula terlibat dengan VSS,” katanya.
Fakta Pekerja dan Sektor Terjejas 2019:
7,944 orang (32.29 peratus) - Pembuatan
7,309 orang (29.71 peratus) - Pentadbiran dan khidmat sokongan
2,123 orang (8.63 peratus) - Perdagangan, borong dan runcit
1,748 orang (7.11 peratus) - Aktiviti kewangan dan insurans
1,049 orang (4.26 peratus) - Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman
6,79 orang (2.76 peratus) - Maklumat dan komunikasi
#Dewan Rakyat
#ekonomi
#ekonomi hijau
#ismail sabri yaakob
#janji manifesto
#Kementerian Sumber Manusia
#kerajaan
#M Kula Segaran
#Mustapa Mohamed
#Pekerja
#peluang pekerjaan
#pembangkang
#pemberhentian
#pemberhentian sukarela
#pembuangan kerja
#VSS