64 pekerja, peniaga Pasar Besar Seremban positif COVID-19
Sinar Harian
Julai 25, 2021 10:20 MYT
Julai 25, 2021 10:20 MYT
SEREMBAN: Seramai 64 pekerja dan peniaga di Pasar Besar Seremban disahkan positif COVID-19 menerusi saringan secara meluas (mass screening) yang diadakan pada Sabtu.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, seramai 676 individu melakukan saringan yang diadakan di pekarangan Pasar Besar Seremban pada jam 2 hingga 7 petang.
Katanya, usaha ini adalah inisiatif Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Seremban bersama Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan untuk melakukan saringan secara percuma.
"Hasil saringan yang dilakukan, 64 orang didapati positif COVID-19. Semua yang positif terus dipakaikan gelang pink oleh pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri, selain terus melakukan ujian PCR.
"Mass screening di kawasan berkenaan dibuat supaya kita boleh diagnos semua kes positif COVID-19.
“Kemudiannya, kes positif ini akan diasingkan dengan segera agar virus tidak disebarkan kepada orang di sekelilingnya,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada Ahad.
Tambah Pengerusi DAP negeri itu, pegawai PKD Seremban akan terus melakukan pengesanan kontak rapat dan membuat ujian seterusnya.
"Operasi Pasar Besar Seremban juga akan ditutup selama tujuh hari bermula Isnin," katanya.
Anthony Loke yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah turut memberitahu, pihaknya telah melakukan ujian saringan COVID-19 secara percuma terhadap penduduk tempatan di kawasan tersebut pada Rabu.
Katanya, hasil saringan yang dilakukan terhadap 294 penduduk adalah negatif.
"Kami berasa amat bersyukur kerana kesemua penduduk tempatan disahkan negatif.
"Sebelum ini terdapat beberapa kes positif telah dikesan di kawasan DUN Chennah, menyebabkan penduduk setempat bimbang, dan kami memahami bahawa bukan semua rakyat mampu menampung kos ujian saringan COVID-19.
"Oleh itu, kami mengambil inisiatif menyediakan fasiliti ini secara percuma bagi membendung penularan COVID-19 di kawasan tersebut," katanya.
Artikel Penuh : 64 pekerja, peniaga Pasar Besar Seremban positif Covid-19
#Pasar Besar Seremban
#kes positif
#ujian saringan
#COVID-19
#Anthony Loke
#Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Seremban
#Menteri Besar Negeri Sembilan
#peniaga
#kontak rapat