62 sukarelawan jadi individu terawal terima suntikan vaksin kajian klinikal COVID-19

Abd Hadi Che Awang
Januari 30, 2021 16:12 MYT
Majoriti sambutan yang diterima untuk menjadi sukarelawan di hospital berkenaan adalah dari kumpulan belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun dari pelbagai latar belakang. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: 62 sukarelawan menjadi individu dan kumpulan terawal di Malaysia yang menerima suntikan vaksin bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Kedah pada Sabtu.
Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada 375 individu yang disasarkan menjadi sukarelawan bagi proses penerimaan suntikan kajian klinikal vaksin COVID-19 di hospital berkenaan.
Menurut Ketua Jabatan Pusat Penyelidikan Klinikal HSAH, Dr Vijaya Kumar L.Suppan, sukarelawan berkenaan dipilih daripada kalangan individu yang berumur 18 tahun keatas dan memiliki tubuh badan yang sihat selain tidak melibatkan wanita mengandung, wanita yang bercadang untuk mengandung serta wanita yang masih berada dalam proses penyusuan.
Tambah beliau, majoriti sambutan yang diterima untuk menjadi sukarelawan di hospital berkenaan adalah dari kumpulan belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun dari pelbagai latar belakang.
Kebanyakan mereka mengetahui maklumat berkaitan Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 melalui media sosial seperti aplikasi Facebook, Whatsapps dan Twitter.
"Para sukarelawan ini telah menjalani program saringan pada hari Khamis lalu dimana mereka telah menjalani ujian suhu, ujian fizikal ujian COVID dan juga ujian darah, dan juga lain-lain data tentang sejarah kesihatan mereka tentang penyakit kronik.
"Kajian ini hanya melibatkan sukarelawan yang berumur 18 tahun ke atas dan dalam keadaan yang sihat, setelah berjaya jalani saringan pada Khamis dan keputusan darah dan COVID adalah negatif maka mereka boleh dapatkan vaksin COVID pada hari ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, sukarelawan terbabit juga akan dikawal selia dan dipantau pihak hospital selama satu tahun selain perlu menjalani beberapa ujian lain untuk mengetahui kesan suntikan yang mula dilaksanakan hari ini.
Vaksin | 62 sukarelawan jadi individu terawal terima suntikan vaksin di Malaysia
Dalam pada itu, Dr Vijaya turut berharap orang ramai terutama yang tinggal di utara tanah air untuk berdaftar sebagai sukarelawan bagi Kajian Klinikal berkenaan di enam hospital termasuk di HSAH Sungai Petani, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 adalah merupakan kerjasama antara negara Malaysia dan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).
Kajian sama turut dijalankan di Brazil selian Kajian Klinikal Fasa 1 dan 2 telah dilakukan di negara China.
Vaksin kajian berkenaan adalah menggunakan platform vaksin tidak aktif yang diperbuat daripada virus yang telah dimatikan.
Kira-kira 3,000 sukarelawan akan terlibat di seluruh negara yang mana kesemua mereka akan menerima suntikan di sembilan hospital KKM yang dijadikan tapak kajian di bawah seliaan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM termasuk enam hospital diatas selain Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Umum Sarawak.
#KKM #COVID-19 #vaksin #HSAH #Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin COVID-19 #Hospital Sultan Abdul Halim
;