62 pelajar SMKA Sheikh Abdul Malik di Terengganu keracunan makanan

Bernama
Oktober 19, 2016 07:21 MYT
Seramai 62 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik di sini terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat keracunan makanan.
Seramai 62 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik di sini terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat keracunan makanan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata dari jumlah itu, 36 adalah pelajar perempuan dan 26 lagi pelajar lelaki.
"Kesemua mereka diberi rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke sekolah pada 11.30 pagi tadi (Rabu) kecuali empat pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki yang masih menerima rawatan.
"Berdasarkan siasatan awal terhadap pelajar, keracunan makanan ini dipercayai berpunca daripada sandwic telur yang dihidangkan di asrama sekolah, sebagai makanan lewat malam, malam sebelumnya.
"Difahamkan, pelajar ini mula mengadu sakit perut dan cirit-birit pada 9 pagi sebelum dikejarkan ke HSNZ," katanya kepada Bernama.
Selain itu, Shafruddin turut menasihatkan pembekal barangan keperluan dapur asrama sekolah supaya memastikan barangan yang dihantar sentiasa berada dalam keadaan memuaskan seperti yang dipersetujui dalam kontrak perjanjian.
"Pembekal perlu meneliti keadaan barangan dapur ini dengan cermat dan sekiranya rosak ia tidak lagi boleh digunakan.
"Warden asrama juga perlu sentiasa memantau kualiti makanan yang disediakan dari semasa ke semasa dan bertindak dengan pantas sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti keracunan makanan ini.
"Paling penting, perlu cepat memaklumkannya kepada ibu bapa, selain jabatan dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan susulan dan perlu menjemput Jabatan Kesihatan untuk melakukan pemantauan secara berkala," katanya. - Bernama
#keracunan makanan #Shafruddin Ali Hussin #SMKA Sheikh Abdul Malik
;