61 unit Proton e.MAS 7 disediakan bagi Kepengerusian ASEAN 2025

Bernama
Januari 10, 2025 14:50 MYT
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Tan Sri Syed Faisal Albar (tiga kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif EON Akkbar Danial ketika majlis pelancaran hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Sebanyak 61 unit Proton e.MAS 7 akan digunakan sebagai antara kenderaan rasmi bagi delegasi utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata selain itu, 194 unit Proton X70 turut digunakan dengan semua penghantaran akan dilengkapkan bulan ini.
"Model ini akan digunakan untuk tujuan pengangkutan mereka yang memegang jawatan tinggi dan penting sepanjang kepengerusian ASEAN 2025," katanya ketika ditemui selepas pelancaran bilik pameran Proton e.MAS 7 di EON Glenmarie di sini hari ini.
Roslan berkata syarikat pengeluar kereta nasional itu juga komited untuk mengetengahkan produknya yang bertepatan dengan satu daripada agenda mesyuarat ASEAN kali ini membabitkan teknologi hijau dan bebas karbon.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pemilihan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi bagi mesyuarat ASEAN menunjukkan sokongan kerajaan terhadap pengeluaran kereta elektrik (EV) pertama negara oleh Proton.
Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Shunrong semasa berucap dalam acara tersebut berkata setakat semalam syarikat berkenaan telah merekodkan lebih 3,000 tempahan bagi Proton e.MAS 7 dan EON Berhad menduduki tempat teratas sebagai pengedar utama bagi wilayah tengah serta seluruh negara, dengan 271 tempahan.
Beliau berkata sebagai EV nasional pertama Proton e.MAS 7 berjaya memikat hati rakyat Malaysia menerusi gabungan inovasi, mampu milik dan ciri-ciri praktikal dimilikinya.
"Berikutan popularitinya, PRO-NET akan melanjutkan pakej pelancarannya yang menarik dan rebat harga RM4,000 kepada 3,000 pelanggan seterusnya. Jadi, kini 6,000 tempahan pertama akan mendapat tawaran eksklusif ini iaitu rebat dan lima pakej pelancaran," katanya.
-- BERNAMA
#Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 #kenderaan rasmi #Proton e MAS 7 #Proton X70
;