61 individu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan urus rumah judi
Bernama
Mac 25, 2024 18:40 MYT
Mac 25, 2024 18:40 MYT
SHAH ALAM: Seramai 61 individu warga tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membantu menguruskan sebuah premis di pusat beli-belah di Subang Jaya sebagai rumah judi terbuka, minggu lepas.
Pertuduhan terhadap mereka berusia 20 hingga 40-an itu dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Reza Azhar Rezali; Muhammad Syafiq Sulaiman; Farah Rosnan dan Sasha Diana Sabtu.
Mengikut kertas pertuduhan, seramai 58 tertuduh didakwa membantu menguruskan sebuah premis sebagai rumah judi terbuka manakala tiga yang lain dituduh melakukan pakatan jahat untuk membantu mengendalikan dan menguruskan premis sama di Sky Park @ One City, Subang Jaya.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.15 petang, 18 Mac lepas.
Mereka didajwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas serta penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman; Kamarul Iman Ahmad Sapian; Saidah Fasihah Che Yussoff dan Annur Athirah Amran menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam Navin Punj, Dinesh Kumar, Premjeet Singh Gil, Paramjit Kaur dan New Sin Yew, yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan ditawarkan pendakwaan dikurangkan kerana anak guam mereka mempunyai tanggungan keluarga dan telah memberi kerjasama kepada pihak polis.
Empat majistret kemudian membenarkan jaminan antara RM4,000 hingga RM6,000 bagi setiap tertuduh.
Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 11 dan 15 Jun.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis menahan 84 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai berperanan membangunkan aplikasi judi dalam talian untuk pasaran luar negara dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, 18 Mac lalu.
Menurutnya polis merampas rampasan 94 komputer riba, 105 telefon bimbit, enam kenderaan mewah serta wang tunai berjumlah RM15,849.
Siasatan awal polis mendapati sindiket itu berdaftar sebagai sebuah syarikat teknologi maklumat yang menggajikan semua individu terbabit sebagai pekerja teknologi maklumat untuk membangunkan aplikasi judi bagi pasaran Thailand, Brazil, China dan Vietnam dengan menawarkan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000 sebulan.
-- BERNAMA