600,000 pendatang asing digesa ambil peluang program repatriasi
Bernama
Mac 1, 2024 20:24 MYT
Mac 1, 2024 20:24 MYT
PUTRAJAYA: Seramai lebih 600,000 pendatang asing yang tidak terlibat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) digesa mengambil peluang untuk pulang ke negara asal menerusi Program Repatriasi Migran, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka diberi peluang sehingga hujung tahun ini untuk balik ke negara asal tanpa dikenakan tindakan undang-undang, hanya kompaun untuk beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen.
"Setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 848 orang pendatang tanpa izin sudah mendaftar untuk menyertai Program Repatriasi Migran itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Saifuddin turut mengingatkan warga asing supaya tidak mendapatkan khidmat ejen sebaliknya datang sendiri ke pejabat imigresen untuk membuat pendaftaran atau sebarang urusan.
"Jangan gunakan sebarang perkhidmatan ejen. Lupakan. Kerajaan tidak akan melayan sebarang permohonan dari pihak itu (ejen) atau pihak ketiga," katanya.
Program Rekalibrasi merupakan inisiatif kerajaan bagi memberi peluang kepada warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak mempunyai pas sah berada di negara ini untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor kritikal.
Program Repatriasi Migran pula dilaksanakan, bermula hari ini hingga 31 Disember ini, bertujuan membenarkan pendatang asing tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela.
Sementara itu, beliau berkata dalam baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal menerusi PTRK yang masih aktif dan telah dibayar levi, tetapi masih belum diterbitkan Visa Dengan Rujukan (VDR) pada 31 Mac, akan dibatalkan.
Saifuddin berkata bayaran levi kuota tersebut akan dikembalikan kepada majikan.
"Tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei dan tiada lagi kemasukan pekerja asing formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun ini," katanya.
Beliau turut menggesa majikan terbabit untuk mempercepatkan kemasukan pekerja asing bagi program PRTK tersebut, namun mesti mematuhi semua syarat dan undang-undang perburuhan yang ditetapkan.
Berkaitan penambahbaikan levi, katanya kerajaan akan melaksanakan dasar pemulang levi lebih mesra majikan dan industri, yang turut berkuat kuasa hari ini.
Katanya penambahbaikan itu termasuk pengurangan tempoh masa pemprosesan pulangan balik levi dari 53 hari kepada 28 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.
"Tempoh permohonan di peringkat kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dari 77 hari ke 38 hari," katanya.
Beliau berkata majikan juga dibenarkan untuk membuat tuntutan pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas enam bulan sah laku Surat Kelulusan Bersyarat dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan kepada kerajaan.
-- BERNAMA