600,000 pekerja perlu pemahiran semula dalam tempoh lima tahun - Sim
Bernama
Oktober 10, 2024 04:15 MYT
Oktober 10, 2024 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 600,000 pekerja dikenal pasti memerlukan pemahiran semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kesan daripada perkembangan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan ekonomi hijau.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kesemua mereka ialah pekerja dalam 10 sektor strategik terhadap ekonomi negara dikenal pasti menerusi fasa pertama Kajian Impak AI, Digitalisasi dan Ekonomi Hijau Terhadap Pasaran Kerja yang dilaksanakan kementeriannya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) serta pihak industri.
Beliau berkata, 10 sektor berkenaan ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), perkhidmatan perniagaan global, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, perniagaan borong dan runcit, peranti perubatan serta tenaga dan kuasa.
Sehubungan itu, Sim berkata, laporan berkenaan yang akan dikeluarkan pada bulan depan tidak harus dilihat daripada sudut negatif sebaliknya dijadikan asas mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang perkembangan.
"Saya tidak mahu orang ramai mengambil laporan ini dengan negatif, pesimistik atau sinis. Sebabnya kita melakukan ini supaya kerajaan, industri serta individu boleh bersedia mempersiapkan diri sendiri, tidak mahu caught of guard," katanya dalam satu taklimat mengenai kajian berkenaan, di sini, pada Khamis.
Sim berkata, fasa pertama kajian melibatkan 10 sektor berkenaan menyumbang kira-kira RM933 bilion atau sekitar 60 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun lepas.
"Sektor-sektor ini juga ialah sektor yang mengambil paling ramai pekerja, lebih kurang 3.5 juta pekerja mahir dan separuh mahir," katanya sambil menambah fasa kajian seterusnya akan melibatkan 14 lagi sektor yang akan dikenal pasti.
Mengulas lanjut, Sim berkata, hasil kajian berkenaan akan dimasukkan dalam portal MyMAHIR Future Skills Talent Councils bagi membolehkan kerajaan sebagai pembuat dasar untuk melihat kesan AI, digitalisasi dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Selain itu, ia juga penting kepada pelabur bagi melihat ekosistem dan kemahiran pekerja di Malaysia serta untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) merangka strategi masing-masing.
"Seterusnya, paling penting ialah pekerja, supaya jika pekerjaan mereka terkesan apakah yang boleh dilakukan, begitu juga pelajar atau penuntut universiti agar bersedia untuk berhadapan dengan pasaran kerja masa depan.
"Laporan ini juga penting untuk ibu bapa memberikan informasi kepada anak-anak mereka terutama yang berumur 15 tahun ke bawah mengenai pilihan kerjaya pada masa hadapan, cita-cita dan inspirasi," katanya.
- BERNAMA