60 unit kedai zon bebas cukai Rantau Panjang musnah dalam kebakaran

Bernama
Januari 7, 2014 10:46 MYT
Gambar keadaan di kawasan kebakaran yang dikirimkan oleh pengguna Twitter @izwarwahid
Kira-kira 60 unit kedai di Kompleks Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang terkenal di kalangan pelancong musnah dalam kebakaran pada kira-kira 11.30 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abdul Jalil Ishak berkata jentera bomba bersama 33 anggota yang tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian berjaya mengawal api sepenuhnya dalam tempoh sejam.
"Bomba terpaksa mendapatkan sumber air dari Sungai Golok yang terletak berhampiran selepas air pili bomba berdekatan tidak mencukupi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Abdul Jalil berkata kesemua kedai berkenaan dengan binaan kayu, yang beroperasi lebih 20 tahun di kawasan zon bebas cukai itu, terletak sebelah menyebelah menyebabkan api cepat merebak.
"Sebahagian besar kedai berkenaan menjual pakaian dan selimut menyebabkan api lagi cepat marak," katanya.
Beliau berkata punca kebakaran dan nilai kerugian belum dapat dipastikan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Terdapat lebih 300 kedai yang menjual pelbagai jenis barangan di kompleks itu yang menjadi tumpuan pelancong pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah.
Tinjauan BERNAMA mendapati rata-rata peniaga mengetahui kedai mereka terbakar kira-kira setengah jam kebakaran terjadi.
Seorang peniaga, Suhaida Shafie, 25, berkata dia kerugian kira-kira RM50,000 apabila semua pakaian dan selimut di kedainya musnah.
"Keluarga saya dah berniaga di sini sejak 20 tahun lalu dan saya pilu melihat kedai milik kami musnah sama sekali," katanya.
Seorang lagi peniaga Shamsiah Mohamad, 30, berkata dia kini buntu memikirkan masa depan apabila kedainya musnah dalam kebakaran itu.
"Saya dah berniaga 15 tahun dan sedih memikirkan masa depan saya kerana ini adalah satu-satunya punca pendapatan saya sekeluarga," katanya.
#Kebakaran di Rantau Panjang #kedai terbakar #Zon Bebas Cukai
;