60 rumah atas air musnah dalam kebakaran besar
Astro Awani
Januari 12, 2025 13:45 MYT
Januari 12, 2025 13:45 MYT
TAWAU: Lebih 60 rumah termasuk sebuah masjid di penempatan setinggan atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Aman Dua, di Batu 3 Jalan Apas di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, lebih 300 mangsa dilaporkan tinggal sehelai sepinggang selepas tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka kerana api merebak terlalu cepat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.46 pagi.
Katanya, seramai 69 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera digerakkan ke lokasi kejadian dan dibantu oleh 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak dan Pasukan Bomba Sukarela.
"Pasukan Bomba mengambil masa kira 80 minit memadam kebakaran sehingga api berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi.
"Secara keseluruhan kita berjaya mengawal api daripada merebak sekali gus menyelamatkan kira-kira 250 buah rumah lain," katanya
Rata-rata mangsa yang ditemui berkata, hanya sempat membawa beberapa dokumen pengenalan diri sahaja ketika cuba keluar menyelamat diri dari rumah mereka yang terbakar.
Namun mereka bersyukur kerana mereka sempat menyelamatkan diri bersama anak-anak dan tidak mengalami sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.