60 peratus penyewa aset RAC ialah Bumiputera - Loke

Bernama
Mac 15, 2024 22:47 MYT
Anthony LOke berkata, RAC yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), sentiasa memberi tumpuan untuk memperkasa golongan Bumiputera. - Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Sebanyak 60 peratus daripada 1,475 penyewa aset Perbadanan Aset Keretapi (RAC), terdiri dalam kalangan Bumiputera, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata RAC yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), sentiasa memberi tumpuan untuk memperkasa golongan Bumiputera dan pada masa yang sama tidak mengetepikan golongan bukan Bumiputera, dalam usaha merapatkan jurang ekonomi.
"Ini mengambil kira penekanan yang disuarakan kerajaan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 baru-baru ini, yang mahukan agihan ekonomi diperluas dengan memastikan peningkatan dalam ekonomi bumiputera selaras dengan kerangka ekonomi MADANI.
"Sehubungan itu, saya amat berharap agar lebih banyak syarikat swasta industri rel, akan tampil membantu kerajaan memperkasa sektor ini, selaras dengan aspirasi kementerian menerusi pendekatan Road to Rail yang diterjemahkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2030," katanya pada Majlis Penyerahan Kontrak Pay As Use bagi Lokomotif dan Wagon Antara RAC dan SMH Rail Sdn Bhd, di sini hari ini.
Loke berkata menerusi kontrak yang telah ditandatangani pada 19 Feb lepas, SMH Rail akan membaik pulih 44 lokomotif yang tersadai dan penukaran 256 wagon milik RAC yang berkapasiti rendah, dengan wagon yang membawa muatan lebih berat.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Loke berkata negeri yang bersempadan dengan Thailand, boleh membuat permohonan untuk rayuan membenarkan bas pelancong dari negara jiran itu masuk ke Malaysia.
"Saya difahamkan memang dasar sedia ada kita tidak benarkan bas pelancongan dari Thailand masuk ke Malaysia, yang dibenarkan hanya kereta persendirian.
"Kalau kerajaan melihat ada keperluan melihat dasar itu, mereka boleh tulis surat kepada kita untuk kita lihat sama ada benarkan bas-bas pelancongan daripada Thailand," katanya.
Bagaimanapun, Loke berkata terdapat beberapa isu teknikal perlu diatasi dari segi perlesenan pemandu dan sebagainya dan susulan itu, ia perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum sesuatu dasar itu diubah.
Terdahulu media melaporkan Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis akan mengemukakan rayuan kepada MOT, supaya membenarkan bas pelancong negara jiran itu masuk ke negeri-negeri berkenaan.
Difahamkan, terdapat dakwaan mengatakan agensi pelancongan di negara jiran tersebut berdepan masalah peraturan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), yang berkaitan larangan terhadap bas pelancong luar.
-- BERNAMA
#Perbadanan Aset Keretapi #RAC #Bumiputera #Anthony Loke
;