60 PATI ditahan dalam serbuan di kampung nelayan Kuala Gula

Astro Awani
Julai 23, 2022 11:20 MYT
Sebahagian daripada 60 PATI yang ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di perkampungan nelayan Kuala Gula pada Jumaat malam. -Astro AWANI
BAGAN SERAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di perkampungan nelayan Kuala Gula di Parit Buntar, pada Jumaat malam.
Turut dirampas lima laras senapang angin bersama peluru bebola besi yang dipercayai digunakan untuk menembak ikan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua PATI itu terdiri daripada 37 warga Myanmar dan 23 Indonesia, dianggarkan berumur di antara 10 dan 50 tahun.
“Berdasarkan semakan awal, kebanyakan mereka masuk secara haram ke perkampungan ini, ke Malaysia, ke perairan kita, melalui pertukaran bot.
“Bot dari negara mereka datang dan menceroboh masuk ke perairan negara kita, dan kemudian bot nelayan dari sini akan pergi ke tengah laut dan mereka akan tukar untuk masuk ke dalam bot-bot nelayan tempatan,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas operasi itu awal pagi Sabtu.
Menurutnya, operasi yang disertai 90 pegawai dari Putrajaya dan Perak itu dilakukan ekoran aduan orang awam dan nelayan tempatan mengenai kehadiran PATI yang menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan pesisir pantai.
Katanya, kegiatan mereka telah menjejaskan periuk nasi nelayan tempatan, selain dipercayai turut bekerja di kilang memproses belacan secara tidak sah.
Semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Langkap untuk siasatan lanjut dan akan diusir selepas dijatuhi hukuman.
Di samping itu, kata Khairul Dzaimee, pemilik bot dan kilang belacan akan dipanggil untuk siasatan dan didakwa kerana menggaji atau membenarkan PATI berada di dalam premis mereka.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 masuk ke Malaysia tanpa sebarang dokumen, manakala majikan pula disiasat di bawah Seksyen 56(1) akta sama.
#Khairul Dzaimee Daud #Kuala Gula #nelayan tempatan #pati
;