60 majikan didakwa dengan pelbagai kesalahan - Perkeso Kelantan

Bernama
Disember 23, 2021 04:07 MYT
Menurut Perkeso Kelantan, daripada jumlah itu sebanyak 38 kes direkodkan pada tahun lalu, manakala baki 22 kes membabitkan tahun ini.
KOTA BHARU: Seramai 60 majikan daripada pelbagai sektor pekerjaan di Kelantan didakwa atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, sejak tahun lepas hingga kini.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacob berkata daripada jumlah itu sebanyak 38 kes direkodkan pada tahun lalu, manakala baki 22 kes membabitkan tahun ini.
Katanya antara kesalahan yang banyak dilakukan majikan adalah tidak mendaftar pekerja, tidak mendaftarkan perniagaan atau perusahaan mereka, tidak melaporkan kemalangan membabitkan pekerja dan tidak membayar caruman pekerja.
"Perlu diingatkan, majikan yang mempunyai pekerja, wajib membuat caruman terhadap kakitangannya selain mendaftarkan perniagaan atau perusahaan yang dijalankan, dan menjadi satu kesalahan sekiranya gagal berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nora berkata majikan atau pekerja yang didapati bersalah di bawah akta tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama Nora berkata dua majikan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret 2 Kota Bharu pada Khamis atas tuduhan gagal membayar caruman dan gagal mendaftarkan perusahaan.
-- BERNAMA
#majikan #Kelantan #perkeso #Nora Yaacob
;