60 ekor musang dirampas

Vivi Sumanti
Jun 25, 2018 15:46 MYT
Haiwan itu dipercayai akan diseludup menggunakan jalan laut oleh nelayan Vietnam.
Sebanyak 60 ekor musang dari spesis dikenali Musang Pandan yang dipercayai untuk diseludup ke Vietnam sebagai hidangan eksotik berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.
Haiwan itu dipercayai akan diseludup menggunakan jalan laut oleh nelayan Vietnam.
Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, haiwan itu ditemui berdekatan jeti di Tok Bali di sini, ketika operasi rondaan dilakukan.
"Kita menemui 60 ekor musang disembunyikan di luar kawasan berpagar yang dipercayai untuk diseludup ke Vietnam dan pengkalan ini kita percayai menjadi pusat pengumpulan haiwan eksotik untuk di hantar ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM12,000 dengan anggaran RM200 bagi setiap seekor musang berkenaan.
Kes dirujuk ke Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan kesemua musang itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini untuk tindakan lanjut.
#eksotik #haiwan #Inspektor Reduan Mohidin #musang #Musang Pandan #Pengkalan Kubor #Perhilitan #polis marin #PPM #Tok Bali #Vietnam
;